KUCHING, 13 Sept : Regatta Sarawak 2022 menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM240,000 untuk dimenangi menerusi pelbagai kategori yang akan membuka tirai saingan pada 4 hingga 6 November depan.
Antara yang mencuri tumpuan adalah habuan bagi acara kemuncak, Piala Raja Sungai 2022, yang menawarkan hadiah wang tunai RM20,000.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata ganjaran itu telah dinaikkan berbanding RM10,000 pada edisi sebelum ini.
“Pada tahun ini, sebanyak 14 kategori lumba perahu dipertandingkan yang melibatkan perahu balok, perahu bidar dan perahu kenyalang.
“Satu kategori baharu telah diperkenalkan iaitu Kategori Perahu Tambang (Berdayung), yang bertujuan untuk mengekalkan warisan dan budaya perahu tambang supaya tidak luput ditelan zaman,” kata Abdul Karim pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini hari ini.
Secara keseluruhannya, lumba perahu Sarawak Regatta akan melibatkan 26 peringkat saringan dan 14 peringkat akhir.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 29 Oktober sempena Festival Tebingan Kuching dan Regatta Sarawak 2022 yang akan diadakan pada 28 Oktober hingga 6 November akan datang.
Tarikh bagi penjualan borang penyertaan akan dibuka pada 14 September ini di Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Tingkat 2, Bangunan Electra House.
Manakala tarikh tutup penyertaan adalah pada 17 Oktober 2022 pada jam 12:00 tengah hari.
Dalam perkembangan sama, kata Abdul Karim, sempena festival tersebut, Regatta Antarabangsa Perahu Naga Sarawak 2022 akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Oktober.
“Ia akan melibatkan tujuh kategori yang dipertandingkan, termasuk acara terbuka, campuran, master, tertutup dan kategori khas ‘cancer survivor’.
“Untuk lumba perahu naga, kita juga telah bersetuju untuk menggandakan hadiah kepada RM100,000 berbanding RM50,000 sebelum ini,” katanya.
Sebanyak 16 negara telah mengesahkan penyertaan bagi penganjuran edisi kelapan itu, termasuk Britain, Georgia, Cyprus, Itali, Amerika Syarikat, Australia, Filipina, Singapura, Thailand, Indonesia,
Brunei, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bangladesh and Malaysia, yang melibatkan 50 pasukan dan 1,453 peserta.
Pertandingan itu juga bakal menyaksikan penyertaan baharu dan pertama kali oleh tujuh negara.
“Kita hanya mengehadkan kepada 16 buah negara sahaja.
“Mungkin selepas ini kita akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan penyertaan dari negara luar,” kata Abdul Karim. – TVS