Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Abang Johari berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-30 Politeknik Kuching Sarawak. Foto: TVS

Sarawak kaji penghasilan gas bagi industri penerbangan 

KUCHING, 13 Sept : Sarawak sedang giat membuat kajian bagi kemungkinan untuk menghasilkan bahan komposit daripada sumber gasnya dalam memenuhi permintaan industri penerbangan.
 
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam istilah bidang sains, komposit boleh dicipta melalui gas, termasuk metanol, ammonia dan sebagainya.
 
“Melalui itu (sumber asli), ini akan membolehkan kita untuk menghasilkan bahan komposit baharu yang menjadi permintaan pasaran pada hari ini dalam ekonomi baharu.
 
“Sebab itu, Sarawak memberi penekanan kepada material sains kerana komposit ini akan menjadi bahan yang sangat penting pada masa hadapan, kerana ini diperlukan oleh banyak industri, termasuk industri penerbangan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-30 Politeknik Kuching Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini pada hari ini.
 
Ujarnya lagi, Sarawak turut memberi tumpuan serta menitikberatkan tiga jurusan penting dalam usaha untuk mengangkat negeri ini ke arah kecemerlangan, iaitu bidang kejuruteraan, kimia dan biologi.
 
Ketiga-tiga jurusan itu sangat penting untuk memperbanyakkan modal insan berkualiti bagi memajukan lagi Sarawak baharu.
 
“Saya telah berbincang dengan pengarah dan rakan-rakan di Pusat Kemahiran Sarawak mengenai tiga jurusan yang sangat penting ini dan anda pasti tahu bidang kejuruteraan, sama ada mekanikal atau elektrikal, kejuruteraan awam dan kimia ini sangat penting untuk melahirkan tenaga kerja dalam industri-industri yang baharu.
 
“Kita mahu beri penekanan dalam jurusan biokimia kerana ia menjadi asas untuk kita melahirkan pakar-pakar dalam jurusan kimia dan biologi.
 
“Malah Sarawak mempunyai kelimpahan sumber biologi melalui Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), malah kerajaan juga akan menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang memerlukan banyak pakar biokimia,” tambahnya.
 
Abang Johari turut mengaitkan penubuhan hab petrokimia di Bintulu dengan keperluan Sarawak untuk melahirkan pakar dalam gas kimia, seperti hidrogen yang ingin dihasilkan daripada sumber air dan gas di negeri ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan