LIMBANG, 11 Sept : Seorang pekerja swasta lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah jengkaut yang diparkir di tepi Jalan Sibukang, dekat sini awal pagi tadi.
Mangsa Mohamad Salam, 49, dari Kampung Sibukang meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah,Superintenden Parum Niot berkata,ketika kejadian mangsa dipercayai memandu dari arah bandar Limbang menuju ke Kampung Sibukang manakala jentera berat itu diletakkan di bahu kiri jalan.
“Ketika sampai di situ, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar jengkaut itu.
“Keretanya juga mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Parum meminta kerjasama saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang. -TVS