SRI AMAN, 11 Sept : Muzium Sri Aman akan dilancarkan pada tahun depan, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, pembukaan muzium berkenaan kelak dijangka akan merancakkan lagi sektor pelancongan di sini dan kawasan sekitar.
Menurut Abdul Karim, idea untuk membangunkan muzium berkenaan tercetus berdasarkan Deklarasi Sri Aman yang ditandatangani pada 1973 membabitkan kerajaan dengan pengganas komunis.
“Sempena ulang tahun ke-50 deklarasi berkenaan pada tahun depan, kita akan lancarkan muzium itu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Benak 2022 di sini hari ini.
Majlis turut serikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Abdul Karim berkata, Rumah Sri Aman yang menjadi lokasi menandatangi deklarasi berkenaan akan dinaik taraf untuk menjadi muzium yang dirancang.
“Jabatan Muzium Sarawak akan membaik pulih rumah rehat yang dikenali sebagai Rumah Simanggang sebelum pelancaran muzium pada tahun depan,” katanya. -TVS