KUCHING, 8 Sept : Program ‘Education and Career Fair 2022’ anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak (MEITD) akan berlangsung pada 9 hingga 10 September 2022.
Program akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn di Dewan Masyarakat Tapah, Serian bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Menurut MEITD, program itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar, belia dan ibu bapa berkenaan kursus atau program yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat latihan teknikal dan kemahiran.
“Selain itu, terdapat juga maklumat mengenai kekosongan jawatan dalam sektor swasta atau industri.
“Sempena program berkenaan, terdapat juga mini planetarium yang memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai suasana seperti di angkasa lepas dan menonton video serta simulasi langit malam,” jelas MEITD menerusi kenyataan media.
Orang ramai dijemput hadir untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan kemasukan adalah percuma. – TVS