BUTTERWORTH, 5 Sept :Dua lelaki dipercayai pengedar dadah dicekup polis bersama kira-kira 6.3 kilogram (kg) dadah jenis heroin dalam serbuan di Sungai Dua di sini pada Jumaat lalu.
Suspek berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan menerusi dua serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Radzi Ahmad berkata, menerusi operasi itu, pihaknya menemukan sejumlah dadah bernilai RM86,390.
“Sebanyak 14 bungkusan dadah heroin seberat 6.3 kg bernilai RM84,000 dirampas bersama dua bungkusan disyaki ganja seberat 47.8 gram dengan anggaran nilai RM2,390.
“Jumlah dadah berkenaan boleh digunkan oleh kira-kira 31,500 orang penagih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd. Radzi berkata, hasil risikan pihaknya mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket itu telah bergiat aktif sejak Jun lalu bagi pasaran tempatan.
“Hasil ujian saringn air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis THC dan ketamin.
“Semakan rekod turut mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta dan motosikal serta barang kemas yang bernilai RM49,750 menerusi operasi tersebut.
Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 8 September depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS