KUCHING, 5 Sept : Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengambil pendekatan untuk tidak menjawab soalan berkaitan politik sempena lawatan kerjanya di Sarawak hari ini.
Ditanya mengenai ‘soal Rembau’, Menteri Kesihatan itu dengan pantas berkata, tidak perlu ditanya isu berkenaan pada sidang media sempena lawatan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini.
Semalam, Khairy mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang disandangnya sejak 2008.
Baca di sini > > > PRU15: Khairy sahkan tidak bertanding di Rembau, beri laluan Tok Mat
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, ini berikutan beliau diminta memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di situ.
Mohamad kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau yang berada di bawah Parlimen Rembau.
Sementara itu di Kuala Lumpur, desas -desus mengatakan Khairy Jamaluddin akan bertanding di Parlimen Seremban mendapat perhatian penyandangnya, Anthony Loke.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sekiranya Khairy Jamaluddin bertanding di situ, Seremban akan menjadi kerusi panas pada PRU-15 ini.
“Persaingan akan menjadi sengit.
“Yang pertamanya, adalah menjadi hak demokrasi masing-masing untuk bertanding di mana-mana kawasan,” katanya. -TVS