Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata wanita bersama empat lelaki itu dipercayai terlibat membaling cat merah dan mengunci pagar rumah kira-kira 31 individu yang dipercayai berhutang dengan along dikenali sebagai ‘Jimmy’.
“Kesemuanya yang berusia antara 29 hingga 45 tahun ditahan di sekitar perkampungan Permatang Badak dan Sungai Isap di sini dalam serbuan pada 4 petang Khamis lepas (1 Sept) dan mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan ini sejak setahun lepas.
“Polis merampas pelbagai barangan seperti cat merah, peluntur cat, plastik berisi cat merah yang dipercayai untuk disimbah ke rumah mangsa serta rantai dan mangga besi bagi mengunci rumah mangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata semua suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau dadah kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. -TVS