Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Khairy diberi penerangan oleh Pengarah Hospital Simunjan Dr. Noraziela Morney mengenai mendapan tanah di Wad Pediatrik Hospital Simunjan. Foto: TVS

Perkhidmatan pusat kesihatan di tiga daerah akan dipertingkatkan – Menteri Kesihatan 

SIMUNJAN, 5 Sept : Kemudahan di tiga klinik kesihatan di Batang Sadong serta Hospital Simunjan akan dipertingkatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
 
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media sempena lawatan beliau ke Hospital Simunjan pagi tadi.
 
Kata Khairy lagi, keadaan di beberapa pusat kesihatan di Sarawak dikategorikan daif dan beliau berjanji akan mempertingkatkan kemudahan di pusat kesihatan tersebut.
 
“Klinik kesihatan di Semarak telah dibina sejak 1978 dan dikategorikan sebagai antara paling daif di Sarawak.
 
“Bangunan yang digunakan untuk rawatan selepas bersalin disahkan berbahaya oleh Jabatan Kerja Raya.
 
“Sementara menunggu permohonan bantuan kewangan diluluskan, saya meluluskan peruntukan segera untuk membina sebuah kabin pendingin hawa buat sementara waktu” katanya.
 
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan  Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri.
 
Sementara itu, di Klinik Kesihatan Sadong Jaya pula, Khairy memberitahu, beberapa permohonan naik taraf melibatkan bilik kecemasan dan laluan tangga usang turut diluluskan.
 
Turut diluluskan janakuasa tunggu bagi memastikan bekalan elektrik di klinik kesihatan berkenaan tidak lagi terganggu.
 
Menyentuh mengenai tanah mendap di bangunan wad pediatrik Hospital Simunjan, Khairy memaklumkan bahawa perancangan untuk membangunkan sebuah bangunan baru bagi menggantikan wad pediatrik sedia ada akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi.
 
“Kita sedia maklum bahawa penggunaan wad pediatrik telah mencapai hampir 100 peratus dan kita akan bangunkan sebuah bangunan baharu namun perlu mengkaji tanah yang terdapat di situ terlebih dahulu bagi memastikan perkara sama tidak berulang,”ujarnya.
 
Sementara itu, Khairy turut meluluskan permohonan peralatan perubatan sokongan membabitkan mesin ECG, mesin talian hayat dan peti sejuk oleh Hospital Simunjan.
 
Khairy turut ditanya pemberita mengenai bentuk dan jumlah peruntukan bagi pembangunan pusat kesihatan untuk Sarawak di masa akan datang.
 
“Kita tidak dapat berjanji berapa peruntukan yang akan diberikan tetapi yang sedia ada akan digunakan sepenuhnya”katanya.
 
Beliau juga menambah bahawa isu hospital di Petrajaya yang masih tidak disiapkan akan diberi perhatian sewajarnya.
 
“Kita sedang dalam proses menukar kontraktor sedia ada kepada kontraktor baharu,”katanya. -TVS
 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan