PUTRAJAYA, 31 Ogos: Universiti Putra Malaysia (UPM) meneroka peluang baru dalam bidang penyelidikan, pengkomersilan, keusahawanan dan tenaga kerja pembangunan menerusi kerjasama Business Events Sarawak sebagai rakan kongsi strategik pertama dalam acara perniagaan untuk membangunkan konvensyen dan pameran.
UPM dan Business Events Sarawak menandatangani memorandum persefahaman di bawah Business EventS Sarawak Alliance bagi mengukuh, memupuk dan membangunkan acara perniagaan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang diwakili timbalannya Datuk Snowdan Lawan berkata, kerjasama ini akan meluaskan ufuk ilmu UPM di Sarawak bersama-sama kampus cawangannya di Bintulu.
Ini juga adalah langkah strategik untuk meluaskan keupayaan UPM dengan sumber yang diperlukan bagi menganjurkan persidangan dan pameran berimpak tinggi.
Katanya, reputasi Sarawak untuk acara perniagaan semakin berkembang yang merupakan kelebihan tambahan untuk rakan kongsi seperti UPM.
Jelas Karim, ia adalah satu penghormatan untuk UPM menjadi rakan kongsi yang pertama dan mengalu-alukan lebih banyak institusi pengajian tinggi untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Business Events Sarawak.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Dato’ Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman, menyatakan kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada pelan strategik UPM untuk merancakkan industri dan komuniti perkhidmatan rangkaian.
Menurutnya UPM sedang memperkukuhkan kerjasama dengan rakan sinergi dalam menganjurkan persidangan dan acara perniagaan, khususnya di Sarawak, untuk mencapai matlamat universiti dalam meningkatkan industri.
Manakala bagi Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak, Amelia Roziman, pihaknya akan terus menyokong untuk pembangunan acara UPM.
Setakat ini, 42 daripada 84 acara perniagaan yang dijadual diadakan tahun ini telah menjana RM95 juta dalam impak ekonomi dan mewujudkan 6,572 peluang pekerjaan.-TVS