KUALA LUMPUR, 2 Sept : Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd sekali lagi mencatatkan jualan bulanan terbaiknya dengan 15,880 unit (domestik dan eksport) pada Ogos berikutan pemulihan pengeluaran yang berterusan.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata ia mencapai jualan bulanan terbaiknya sejak Julai 2013, dengan jarak 109 bulan, dan kekal fokus mengakhiri 2022 dengan pertumbuhan volum jualan untuk tahun keempat berturut-turut.
Bagi lapan bulan pertama tahun ini, Proton berkata ia mencatatkan 87,481 unit berbanding 62,637 unit pada 2021, peningkatan sebanyak 39.7 peratus.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah menyatakan bahawa dengan empat bulan lagi menuju 2022, operasi pengeluaran Proton telah stabil.
“Bekalan komponen kami kini lebih konsisten dan terurus demi memastikan kami dapat menghasilkan sebanyak mungkin kereta. Dengan itu, kami telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan bilangan trak penghantaran lebih 100 peratus menjelang akhir tahun.
“Ini adalah untuk memastikan pengedar kami menerima stok mereka secepat mungkin dan seterusnya memberi manfaat kepada pelanggan kami yang telah sabar menunggu kenderaan mereka,” katanya.
Proton mengekalkan kedudukan kedua dan mencapai anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.7 peratus untuk Ogos manakala pegangan pasaran tahunan (YTD) meningkat kepada 19.5 peratus.
Jumlah volum industri (TIV) bagi bulan Ogos dianggarkan sebanyak 66,900 unit (36.7 peratus lebih daripada Julai) memandangkan semua jenama automotif giat menyerahkan unit kepada pelanggan yang membuat tempahan semasa insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuat kuasa.
Pengeluar kereta itu berkata jualan eksportnya mencapai paras tertinggi hampir 10 tahun dan volum pertumbuhan dijangka meningkat pada lewat tahun ini dengan pelancaran rasmi semula di Afrika Selatan yang dijadualkan pada September.
“Jualan eksport Proton terus mencapai tahap baharu setiap bulan dan membuktikan bagaimana jenama berjaya memenangi pelanggan baharu di luar pasaran domestik,” kata Roslan. “Jualan eksport adalah penting bagi syarikat mencapai matlamat jangka panjangnya dan membantu meningkatkan imbangan perdagangan untuk Malaysia sambil mempamerkan kualiti dan kepintaran pembekal Malaysia”. – TVS