KUCHING, 2 Sept : Sukan elektronik (e-sukan) merupakan salah satu industri besar dan semakin berkembang di serata dunia.
Malaysia, termasuk Sarawak, tidak terkecuali apabila fenomena itu semakin berkembang seiring dengan kebangkitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Statistik Newzoo’s Global Esports pada 2019 menunjukkan Malaysia berada di tempat ke-21 dari segi ‘revenue stream’ yang berjumlah RM2.6 bilion dalam industri e-sukan.
Ia mendorong ramai pihak untuk membuat pelaburan bagi merancakkan lagi e-sukan.
Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA) Afiq Fadhli memaklumkan, selari dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 untuk mempromosi dan membangunkan e-sukan, pihaknya bersama kementerian memberi bantuan dari aspek pelesenan.
“Kita bersama-sama dengan pihak kementerian telah mengeluarkan satu garis panduan mengenai pelesenan pusat sukan elektronik di mana usaha ini sangat memberi impak yang positif kepada pemilik sukan elektronik di Sarawak kerana sebelum ini, kita tidak memiliki apa-apa garis panduan, dan sekarang ini, kita telah memiliki garis panduan yang jelas mengenai ‘e-sport establishment’ dan ‘e-sport centre’ di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, pengusaha pusat e-sukan di Kuching, Winston Chang, menceritakan bagaimana kejayaan Sarawak dalam melahirkan atlet e-sukan berprestasi tinggi seperti Nadrah Saufi, yang merangkul pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini, telah meyakinkan dirinya untuk membina pusat e-sukan.
Beliau juga yakin industri e-sukan di Sarawak bakal membuka peluang pekerjaan yang besar.
“Saya rasa anak-anak muda sekarang tidak sama. Dia lebih berminat kepada benda yang baharu, iaitu ada kaitan dengan apa yang mereka suka dan persekitaran mereka.
“Jadi kalau industri ini kita bina betul-betul, saya yakin kita akan cipta banyak peluang pekerjaan yang baharu buat golongan muda di Sarawak ini,” katanya.
Turut senada dengan Winston adalah syarikat kejuruteraan, Serba Dinamik Holdings Bhd, yang membangunkan pusat sukan elektronik terbesar, D-Virtual Park, di Kota Samarahan, Sarawak.
Pengurus besarnya, Abdul Qaiyum Alidin, memaklumkan, pembangunan e-sukan akan terus berkembang kerana ia merupakan komponen penting dalam usaha memacu perkembangan ekonomi digital di Sarawak.
Menerusi sokongan berterusan kerajaan negeri, beliau percaya, dalam masa 10 tahun lagi, industri e-sukan akan menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi digital Sarawak.
E-sukan jana pendapatan menerusi ‘streaming’
E-sukan kini bukan lagi sekadar hobi, malah sudah menjadi satu kerjaya sehingga melahirkan ramai pemain muda yang berjaya pada peringkat antarabangsa, malah ada yang bergelar jutawan.
Industri bernilai berbilion ringgit ini bukan sahaja memberi keuntungan kepada pemain profesional, malah turut menguntungkan pemain yang baharu berjinak dalam industri itu jika bijak memanfaatkannya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Todak Holdings, Khairul Azlan Zainal, dalam temubualnya bersama TVS, berkata ’streaming’ di platform media sosial merupakan kaedah paling mudah untuk menjana pendapatan, dan pada masa sama, ia turut membantu membina penjenamaan peribadi.
Selain itu, penjualan perkakas dan ganjaran yang dimiliki dalam sesuatu permainan merupakan antara kaedah bagi mendapatkan keuntungan.
“Kita ada banyak platform ‘game’ yang dimainkan, contohnya Apex dan Steam.
“Steam sendiri ada ‘own market place’, di mana pemain yang bermain di platform tersebut akan mendapat ganjaran seperti ‘playcard skin’ yang mereka boleh jual balik dekat ‘market place’ yang disediakan platform itu. Secara tidak langsung, pemain melakukan perniagaan kecil dalam platform permainan itu,” katanya.
Nilai komersial yang tinggi dalam e-sukan
Selain itu, e-sukan turut membuka peluang kepada pemain industri menjana pendapatan lumayan.
Menurut Timbalan Ketua Saintis dan Timbalan Penasihat Ekonomi Digital Sarawak, Profesor Dr Al Khalid Othman, nilai komersial yang tinggi dalam permainan video dan iklan merupakan antara peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri.
“E-sukan itu mempunyai nilai tersendiri di mana kita perlu melihat yang mana boleh menyumbang pendapatan kepada pemain atau kerajaan negeri dalam pembangunan ekonomi digital.
“Apabila kita melihat dari segi nilai huluan, nilai permainan video sendiri, ianya beratus juta,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga mengharapkan penglibatan lebih ramai anak tempatan untuk mencipta permainan video kerana ia terbukti menjana pendapatan lumayan, seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan China.
Akademi e-sukan buat anak Sarawak
Mengambil maklum potensi besar e-sukan untuk menyumbang kepada ekonomi negara dan juga negeri, Sarawak merancang untuk membina akademi e-sukan bagi tujuan menyediakan pendidikan berkaitan kepada anak Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Belia Sukan dan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, memaklumkan, dengan adanya akademi itu kelak, anak-anak Sarawak diharap mampu berkembang lebih maju dalam industri e-sukan.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai potensi permainan elektronik yang mampu menjana pendapatan bagi semua golongan seperti yang berlaku di luar negara.
“Salah satu perancangan dalam kementerian kita ialah ingin melihat kalau kita dapat mewujudkan akademi e-sukan di tiap-tiap pekan besar.
“Pertama, kita dapat mengajar mereka bagaimana nak menjadi pemain dan mendapatkan ganjaran dan pendapatan yang lebih, dan kedua, kita minta mereka berinteraksi bagi mencari strategi yang baharu untuk bersaing dalam permainan itu dan, yang ketiga, kita dapat mengumpulkan bakat-bakat yang telah dikenalpasti di satu tempat,” katanya.
Sementara itu, Rentap turut memaklumkan penglibatan individu dalam permainan elektronik mampu membantu ekosistem perniagaan jika pemain ada pengaruh.
Menurutnya, jika seseorang pemain itu mempunyai ramai pengikut, ia membantu mempromosi ataupun menaikkan jenama sesebuah perniagaan dengan pantas.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar industri e-sukan diberi perhatian oleh semua pihak dan tidak dipandang enteng kerana ia terbukti menguntungkan. – TVS