KUCHING, 1 Sept : Pembayaran zakat di Sarawak dijangka meningkat dalam lingkungan 10 hingga 20 peratus untuk tahun ini.
Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, anggaran peningkatan ini adalah berdasarkan kepada trend pembayaran zakat setakat ini.
Beliau menzahirkan rasa syukur kerana peningkatan ini akan sekaligus dapat membantu mereka mengagihkan lebih bantuan kepada orang yang memerlukan.
“Setiap tahun kutipan bayaran zakat kita meningkat dalam lingkungan 10 hingga 20 peratus, suatu jumlah yang besar yang dikira besar.
“Jadi Alhamdulillah kita dapat menerima peningkatan dalam kalangan pembayar zakat dan semakin meningkat pembayar zakat maka semakin banyak lah bantuan yang kita boleh agihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya di ketika ditemui pemberita di Ummah Distribution Centre (UDC) Medan Hamidah Demak hari ini.
Tambah beliau, penduduk luar bandar juga tidak ketinggalan menerima bantuan daripada TBS melalui Bantuan Kasih Baitulmal.
“Di peringkat pedalaman kita ada satu lagi Bantuan Kasih Baitulmal iaitu kita ada lebih daripada 120 buah masjid dan surau yang telah kita serahkan bantuan seperti bantuan naiktaraf dapur dan semua bekalan-bekalan yang diperlukan di masjid dan surau,” ujarnya lagi. – TVS