KUALA LUMPUR, 31 Ogos : Kemeriahan dan kehangatan sambutan Hari Kebangsaan 2022 tidak hanya dapat dilihat dan dirasai pada acara perbarisan yang berlangsung di Dataran Merdeka pagi ini malah di seluruh negara.
Semangat patriotik dan rasa teruja dapat dilihat pada segenap lapisan masyarakat dari pelbagai ceruk tanah air apabila mereka hadir untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di peringkat negeri masing-masing pagi ini.
Ketiadaan sambutan Hari Kebangsaan secara besar-besaran selama dua tahun ekoran pandemik COVID-19 meningkatkan semangat patriotik rakyat Malaysia untuk membawa seisi keluarga termasuk anak masing-masing dari awal pagi untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan sambutan kali ini walau di mana mereka berada.
Terjemahan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama dapat dilihat dengan kebanjiran rakyat dan kemeriahan di setiap venue sambutan Hari Kebangsaan 2022 di pelbagai lokasi yang meriah dengan kibaran Jalur gemilang di sana sini.
Annuar juga kagum dengan kesungguhan para peserta yang terlibat kerana berjaya melaksanakan persembahan, acara perbarisan dan perarakan seperti yang dirancang.
“Masa juga tepat, mengikut apa yang kita aturkan, dapat menyamakan gerak acara di darat dan pesawat yang terbang dan semuanya tepat pada saat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan penghargaan dan rasa kagum dengan persembahan yang ditunjukkan peserta.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengucapkan terima kasih dan tahniah atas kejayaan acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 itu yang disempurnakan dengan baik.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, jawatankuasa induk, jawatankuasa teknikal dan subkomuniti serta semua peserta dan kontinjen yang telah berikan terbaik dan ia sangat membanggakan.
“Mudah-mudahan di masa akan datang kita boleh buat lebih baik dan kita ada satu lagi acara di bawah jawatankuasa ini iaitu sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini di Melaka,” katanya. -TVS