KUCHING, 30 Ogos : Kemenangan 2 – 0 yang dilakar oleh skuad bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dalam aksi persahabatan menentang pasukan bawah 20 Brunei kelmarin memberi tonik terbaik sebelum beraksi pada temasya berkenaan di Kuala Lumpur bulan depan.
Kaptennya, Iskandar Shah berkata, kemenangan yang dicapai itu tidak mudah kerana mereka diberi tentangan sengit di tempat lawan.
“Ketika perlawanan kami tidak hilang fokus dan mengikut arahan dan taktikal yang ditetapkan oleh jurulatih, Safri Amit.
“Alhamdulillah menang dengan dua gol yang berpunca daripada setpieces,” katanya kepada TVS.
Skuad muda Ngap Sayot itu membuka jaringan menerusi Muhammad Adifbadri seawal minit ke-10 manakala penalti Mohamad Faris pada minit ke-73 mengesahkan kemenangan Sarawak.
Sementara itu pemain skuad remaja kebangsaan negara, Mohd. Zharmien Asyraf Ismail yang turut membarisi pasukan berkata, dia secara peribadi mengidam pingat emas pada penampilan pertamanya di pentas SUKMA.
Bagaimanapun, Mohd. Zharmein yang beraksi di kancah Liga Super musim ini mengakui, dia dan rakan – rakannya bakal menerima tentangan sengit.
“Sarawak diundi bersama Johor,Pahang dan Melaka.
“Johor dan Pahang mara ke final Piala Presiden tahun ini namun kami akan buat yang terbaik kerana mahu muncul juara,”katanya. -TVS