KUCHING, 30 Ogos: Agensi Pembangunan Delta Rajang mengenal pasti sejumlah 442 projek berpotensi untuk dibangunkan di kawasan itu melibatkan peruntukan bernilai lebih RM17.8 bilion.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata jumlah itu diperoleh hasil daripada beberapa siri mesyuarat untuk merangka rancangan pembangunan kawasan Delta Rajang sehingga tahun 2030.
Bagaimanapun katanya di peringkat awal setiap agensi pembangunan hanya diperuntukan dengan pembiayaan awal berjumlah RM1.5 bilion.
“Keadaan ini memerlukan RADDA untuk menyenarai pendek cadangan bagi keutamaan projek yang akan dilaksanakan untuk dibentangkan kepada kabinet negeri bagi mendapatkan kelulusan selewat-lewatnya pada September depan.
“Jangka masa itu sangat penting untuk kita supaya nanti kita boleh mendapatkan dana yang diperlukan untuk pelaksanaan projek pada tahun hadapan,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Makmal Sindikasi Rancangan Pembangunan RADDA di sini semalam.
Tambahnya dana berkenaan penting bagi membolehkan pembentukan struktur pengurusan RADDA bagi membantu Pejabat Residen Bahagian serta agensi-agensi terlibat melaksanakan projek-projek pembangunan pada awal tahun hadapan.
“Daripada 442 projek yang dirancang itu,159 projek adalah pembangunan infrastruktur berjumlah RM7.839 bilion disusuli 137 projek perkhidmatan sosial dengan peruntukan sebanyak RM2.859 bilion manakala 58 projek lagi adalah pembangunan ekonomi setempat dengan nilai peruntukan sebanyak RM2.14 bilion.
“Selain itu, 56 projek lagi melibatkan pembangunan sektor pertanian dan industri agro-makanan mencakupi nilai sebanyak RM3.805 bilion sementara selebihnya sebanyak 32 projek merupakan projek telekomunikasi dan digital dengan nilai peruntukan berjumlah RM1.179 bilion,” katanya.
Len Talif yang juga pengerusi RADDA turut memaklumkan pembangunan RADDA akan meliputi kawasan seluas 11,330 km persegi melibatkan lima kawasan Parlimen dan 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“RADDA ini meliputi lima kawasan parlimen iaitu parlimen Mukah, Igan, Tanjung Manis, Sarikei dan Julau.
“Oleh kerana ahli jawatan kuasa dalam RADDA ini hanya dari pihak kerajaan jadi ia melibatkan 11 kawasan DUN dalam kawasan tersebut iaitu Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng, Repok, Meradong, Pakan, Meluan, Balingian, Dalat dan Tellian.” jelasnya. –TVS