Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memutuskan untuk menarik diri daripada Terbuka Jepun 2022 bermula di Osaka, esok, sehari selepas mereka dinobatkan sebagai juara dunia di Tokyo. Foto: BERNAMA

Aaron-Wooi Yik tarik diri daripada Terbuka Jepun esok

ByBernama

KUALA LUMPUR, 29 Ogos :  Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memutuskan untuk menarik diri daripada Terbuka Jepun 2022 bermula di Osaka, esok, sehari selepas mereka dinobatkan sebagai juara dunia di Tokyo, semalam.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata kecederaan yang dialami Aaron telah memaksa gandingan itu menarik diri daripada kejohanan itu.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Strategi berhasil, beregu Malaysia raih gelaran pertama juara dunia – Rexy
  2. 2. Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia
  3. 3.Lebih banyak kejayaan bakal menanti Aaron Chia – Wooi Yik

”Aaron tidak berasa selesa dengan keadaan otot di bawah ketiaknya, disebabkan itu di final Kejohanan Dunia beliau tidak banyak lakukan pukulan smash kencang. Oleh itu, Aaron tidak mahu mengambil risiko dan sebab itu beliau mengambil keputusan untuk berundur daripada kejohanan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones, berkata mereka akan melakukan lebih banyak penilaian terhadap Aaron apabila dia pulang dari Jepun tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, jika ia disahkan sebagai ketegangan kecil dengan pengurusan beban dan rawatan yang baik, saya percaya dalam beberapa minggu, Aaron akan kembali pada tahap 100 peratus,” katanya.

Semalam, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran dunia selepas penantian 45 tahun apabila menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 di pentas final Kejohanan Dunia di Tokyo. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan