KUCHING, 28 Ogos : Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan mengenai peruntukan larangan ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan diwartakan pada minggu kedua September.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU berkenaan telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan perkenan baginda pada 23 Ogos lepas.
“Kita serahkan kepada Seri Paduka untuk meneliti dan sekiranya terdapat kemusykilan, baginda akan merujuk kepada Peguam Negara untuk penjelasan,” katanya di sini hari ini.
Pada 28 Julai 2022, pindaan RUU itu diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan di Parlimen manakala pada 9 Ogos, diluluskan di Dewan Negara.
Menurut Wan Junaidi, beliau optimis perlaksanaan RUU Anti Lompat parti itu akan dapat dilakukan pada minggu kedua September selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Terdapat dua peringkat dalam proses berkenaan menurut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, RUU terbabit perlu mendapat pekenan Seri Paduka dalam tempoh 30 hari selepas ia diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,”katanya.
Beliau menambah, selepas itu RUU berkenaan akan dikembali kepada kementeriannya dan Pejabat Peguam Negara sebelum membuat permohonan kepada Istana Negara untuk dikuatkuasakan. -TVS