KUCHING, 29 Ogos: Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat Negeri Sarawak telah berlangsung di Auditorium P. Ramlee, RTM Sarawak di sini pada Sabtu lepas.
Mohammad Firdaus Abu Bakar dan Siti Azliyani Jasini masing-masing telah dinobatkan sebagai juara lelaki dan juara wanita untuk menempah tempat ke peringkat kebangsaan.
Selaku juara dalam kategori lelaki, Mohammad Firdaus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,500 serta piala iringan dan sijil.
Manakala bagi kategori wanita pula, Siti Azliyani membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 serta piala iringan dan sijil.
Nyanyian lagu-lagu ‘Senyap dan Sunyi’ dan ‘Sang Rajuna Hati’ telah memberi tuah kemenangan kepada mereka.
Turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut adalah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Pertandingan Bintang P. Ramlee dianjurkan setiap dua tahun dengan penyertaannya yang terbuka kepada individu berusia antara 18 hingga 45 tahun. – TVS