BUKIT MERTAJAM, 28 Ogos : Hasrat dua pesakit leukemia tahap akhir untuk menonton filem di panggung wayang tertunai apabila mereka dibawa menonton filem ketenteraan, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di Seberang Jaya di sini semalam.
Nur Qistina Batrisyia Zamri, 7, dan Natasha Mohd. Hasjemi, 17, berpeluang menonton tayangan amal filem itu bersama kira-kira 50 pejuang kanser lain dan 30 pegawai dari pasukan Skuadron 15 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.
Ibu kepada Nur Qistina Batrisyia yang dikesan menghidap penyakit itu pada 2019, Juriah Saad, 41, berkata, dia mahu melihat anaknya melalui hari-hari akhir dengan gembira selepas tidak lagi meneruskan rawatan kemoterapi.
Katanya, rawatan itu tidak disambung apabila sel kanser kembali menyerang kanak-kanak berkenaan selepas bebas daripada penyakit tersebut awal tahun ini.
“Dia melalui hari-hari yang menggembirakan, bahkan jika dilihat dari luaran Nur Qistina seperti kanak-kanak sihat lain biarpun sedang berjuang melawan kesakitan.
“Dia sangat menyukai kumpulan penyanyi dari korea, BTS dan Nur Qistina menontonnya di YouTube untuk melupakan kesakitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum tayangan.
Program tayangan berkenaan dianjurkan Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) sambil dihadiri Pengerusinya, Maznah Tayib.
Sementara itu, ibu Natasha, Zaiton Awang, 46, berkata, ikhtiar rawatan menerusi perubatan moden turut dihentikan atas permintaan anaknya selepas sel kenser kembali dikesan menyerang minggu lalu.
Ujarnya, kanser darah dikesan pada remaja itu pada 2010 sebelum menjalani pelbagai rawatan termasuklah transplan.
“Dia beritahu sudah tidak tahan meneruskan rawatan kemoterapi kali kedua dan kami akur kerana tidak mahu melihat dia menanggung kesakitan.
“Oleh kerana Natasha sudah besar, dia mengetahu mengenai status dirinya dan hari-harinya dilalui dengan beremosi,” katanya.
Menurut Zaiton, Natasha bagaimanapun kelihatan lebih gembira berbanding kebiasaan apabila berpeluang menonton filem di panggung wayang buat kali pertama bersama juruterbang TUDM.
Dalam pada itu, Maznah berkata, usaha membawa pesakit kanser kanak-kanak berkenaan menonton filem itu adalah bagi menerapkan semangat juang dalam kalangan pesakit.
“Kita tahu, pesakit kanser perlu berjuang dan semangat yang ada dalam pasukan TUDM ini wajar ditunjukkan kepada mereka untuk terus kuat melawan kesakitan,” katanya. – TVS