KUCHING, 30 Ogos: Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang akan dibentangkan dalam Sidang Parlimen pada Oktober nanti bertujuan untuk menangani isu pencerobohan data peribadi dengan lebih efisien.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Mazmalek Mohamad, berkata pindaan berkenaan menjadi satu keperluan bagi menambah baik akta sedia ada selari dengan kepesatan era teknologi masa kini.
“Kita merasakan pindaan ini relevan sebab hari ini kebanyakan daripada industri mahupun syarikat banyak menggunakan khidmat ‘outsourcing’ kepada perkhidmatan mereka dengan menggunakan ‘server’ bagi pihak lain, menggunakan ‘vendor’.
“Jadi kita nak pastikan bahawa ‘vendor-vendor’ ini bertanggungjawab sepenuhnya dari aspek keselamatan, dan mereka wajib patuh kepada prinsip keselamatan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.
Menurut Mazmalek, draf cadangan pindaan tersebut dibuat selepas merujuk kepada dasar dan akta perlindungan data peribadi yang digunapakai negara-negara Eropah yang memiliki standard yang tinggi.
“Standard yang digunapakai oleh kebanyakan negara adalah standard yang digunapakai di negara Kesatuan Eropah (EU) dipanggil General Data Protection Regulation (GDPR), yang mana kita banyak mengambil amalan terbaik mereka untuk kita serap dalam akta kita,” jelasnya.
Selain itu, pindaan kepada Akta 709 juga akan mewajibkan pemproses data untuk mematuhi prinsip keselamatan di bawah Akta 709 dan membenarkan pemindahan data peribadi antara pengguna data atas permintaan subjek data sekiranya sistem teknikal membenarkannya.
Pindaan itu juga melibatkan pemansuhan penentuan senarai tempat rentas sempadan, dan menggantikan senarai tempat ataupun ‘whitelist’ dengan senarai hitam bagi pemindahan data peribadi rentas sempadan. – TVS