Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia sewaktu beliau melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2022. Foto: David Andreas (TVS).

“Sumpahan” Birmingham hantui Zii Jia?

ByBernama

KUALA LUMPUR, 26 Ogos : Laksana wau melawan angin dengan apa yang dibuat kurang menjadi atau mendatangkan hasil.

Begitulah yang dialami jaguh perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia, apabila segala dibuatnya tampak kurang menjadi selepas membuat keputusan menarik diri daripada mewakili negara dalam Sukan Komanwel 2022 Birmingham.

Setelah lebih seminggu membuat pengumuman itu atas alasan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Zii Jia tumpas kepada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia, 19-21, 21-19, 16-21 pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata di sini, Jun lepas.

Malah, biarpun mempunyai hampir dua bulan menyiapkan diri bagi aksi di Jepun, rezeki tetap tidak memihak kepada pemain nombor lima dunia itu apabila tewas mengejut pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia kepada pemain China, Zhao Jun Peng, 19-21, 21-11, 19-21, semalam, pada kejohanan berprestij yang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium.

Baca lagi > > > Zii Jia kandas di pusingan ketiga, Aaron-Wooi Yik tempah slot suku akhir kejohanan dunia

Bekas pemain negara, Roslin Hashim berpendapat Zii Jia mensia-siakan peluang keemasan bagi membuktikan keputusan menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022 Birmingham adalah tepat selepas “bungkus awal” di Jepun.

“Saya tak pertikai keputusan Zii Jia nak tarik diri daripada Sukan Komanwel dan beberapa kejohanan termasuk Masters Malaysia sebelum ini kerana beliau lebih tahu keadaannya sendiri namun bila lihat keputusan hanya sekadar mara pusingan ketiga bagi saya satu kegagalan.

“Tiada alasan lagi yang perlu diberikan Zii Jia…beliau berdepan laluan yang tidak terlalu sukar untuk ke final selain berhasrat untuk ambil gelaran juara  di Kejohanan Dunia namun sebaliknya berlaku,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Roslin berharap agar juara All England 2021 itu dapat menerima segala kritikan dengan hati terbuka dan bukannya memilih untuk “memberontak” selepas ini.

Mengulas mengenai aksi semalam, Roslin berkata Jun Peng dilihat membuat persediaan cukup rapi menentang Zii Jia manakala wakil Malaysia itu ternyata bermain di bawah tekanan lebih-lebih lagi membenarkan lawannya bangkit daripada ketinggalan pada set penentuan.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Ong Ewe Hock berpandangan Zii Jia perlu menjadikan episod duka di Jepun sebagai satu pengajaran berguna baginya untuk meningkatkan prestasi pada masa akan datang.

Katanya, Zii Jia tidak boleh berputus asa dan terus kuat termasuk menerima segala teguran mahupun kecaman dilemparkan kepada pemain kelahiran Kedah itu.

Ewe Hock juga memahami situasi Zii Jia, yang mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri terhadap keputusannya memilih haluan profesional selepas bertindak keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun ini.

“Berikan beliau sedikit masa untuk merumuskannya, saya percaya dia memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan keadaan semasa (menjadi profesional) .

Tambahan pula, beliau perlu berhadapan dengan banyak tekanan daripada media dan peminat tetapi saya hanya berharap dia akan meneruskannya, beraksi dengan baik dan bermain dengan gaya biasanya pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel 2022 Birmingham, Gerard Monteiro menyarankan Zii Jia memikirkan semula strateginya sebagai pemain profesional  untuk membuktikan sesuatu yang baik buat negara.

“Mengenai Zii Jia, saya tidak tahu sama ada dia gagal atau tidak kerana saya percaya beliau menghadapi banyak tekanan. Tetapi saya rasa sangat sedih dan seluruh negara sangat kecewa,” kata Presiden Persatuan Skuasy Malaysia itu.

Gerard sebelum ini pernah meluahkan kekecewaannya selain terkejut dengan keputusan Zii Jia yang memutuskan untuk tidak bertanding pada Sukan Komanwel 2022 kerana pemain berkenaan merupakan salah satu prospek pingat emas buat kontinjen negara di Birmingham. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan