KUCHING, 25 Ogos: “Jika tiada penglibatan orang baik-baik ini, pada akhirnya kelak politik akan menarik masuk orang yang tidak kita ingini, orang yang tidak baik.”
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, menggalakkan semua warganegara termasuk mereka yang berumur 18 tahun untuk melibatkan diri dalam dunia politik untuk lebih memahami bagaimana perjalanan politik yang sebenarnya.
“Ada kajian mengatakan bahawa mereka (anak muda) kurang berminat tentang isu politik kerana bagi mereka politik adalah sesuatu yang kotor, tidak ‘cool’.
“Tetapi sebenarnya, komponen politik ini banyak. Kita ingin membina kepimpinan yang berkualiti terlibat dalam politik, jadi penglibatan orang baik-baik ini sangat penting,” katanya kepada TVS selepas ditemubual dalam program bual bicara Sejahtera Asia di sini hari ini.
Bagaimanapun menurut Abdullah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, isu politik yang terlalu tebal perlu dielakkan agar para pemimpin dapat terus memberi fokus kepada isu yang lebih penting seperti kebajikan masyarakat.
Tegasnya, matlamat itu dapat dicapai menerusi perpaduan yang kukuh di negeri ini.
“Bagi saya, perpaduan adalah satu elemen penting dalam mengurus sesebuah negeri atau negara.
“Ia akan membawa kepada keamanan dan kestabilan kepada masyarakat, dan ia harus dikekalkan.
“Perpaduan juga adalah elemen penting dalam usaha untuk memulihkan negara dan negeri dari segenap aspek, selepas menghadapi pandemik COVID-19 selama lebih dua tahun,” ujarnya lagi -TVS