SIBU, 22 Ogos : Polis menahan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah bistro di Jalan Pahlawan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lima suspek berusia antara 29 hingga 50 tahun ditahan selepas pihaknya mengesan satu video tular di media sosial berdurasi 42 saat memaparkan kejadian pergaduhan tersebut.
Katanya, hasil risikan dan siasatan polis kesemua lelaki tempatan terbabit berjaya ditahan di sekitar bandar ini sejak jam 2.15 petang.
“Dalam video tular itu, beberapa orang individu dilihat bergaduh dengan menggunakan kerusi plastik di hadapan bistro tersebut.
“Difahamkan kejadian itu berlaku dipercayai berpunca daripada salah faham antara dua lelaki dipercayai mabuk dan terlanggar bahu masing-masing ketika memasuki tandas bistro.” katanya.
Satu pertengkaran kemudian tercetus di antara mereka dan berlarutan sehingga menjadi pergaduhan berkumpulan.
Menurut Zulkipli, perintah reman terhadap kesemua tangkapan dipohon di Mahkamah Sibu hari ini.
Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.-TVS