SEBUYAU, 21 Ogos : Impian seorang remaja lelaki berasal dari sebuah kampung di sini untuk bergelar jurutera semakin menampakkan jalan apabila dia diterima menjadi pelajar di Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Izzan Nasaruddin Stanley,18, yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berkata, dia akan menggunakan peluang untuk belajar bidang kejuruteraan di universiti berkenaan dengan sebaiknya.
Pada masa sama, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Kuching Utara ini turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk Kerajaan Sarawak yang menghulurkan bantuan bagi meringankan kos yang perlu ditanggung untuk menuntut ilmu.
“Saya memohon bantuan pendidikan di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen.
“Apabila dimaklumkan permohonan saya diterima, saya sangat bersyukur. Terima kasih kepada Datuk Julaihi Narawi yang merupakan wakil rakyat di kawasan saya,” katanya.
Izzan Nasaruddin merupakan seorang daripada 10 pelajar cemerlang SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menerima bantuan pendidikan yang disampaikan oleh Julaihi dalam satu majlis ringkas hari ini.
Mengulas lanjut, remaja berkenaan berkata, dia tidak sabar untuk mengikuti kuliah Kejuruteraan Mekanikal di UTP.
Berdasarkan Ranking Universiti Terbaik Dunia 2022, pengajian kejuruteraan di UTP berada pada kedudukan 159 terbaik dunia di kalangan lebih 1,000 universiti global yang tersenarai.
Sementara itu, Julaihi yang juga Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkata, pemberian bantuan berkenaan oleh Kerajaan Sarawak merupakan tanda keprihatinan selain menyokong pembentukan modal insan berkualiti yang diperlukan negeri ini.
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyediakan peruntukan untuk pelajar cemerlang Sarawak.
“Setiap tahun kita akan agihkan kepada penerima yang layak,” katanya. -TVS