GEORGE TOWN, 21 Ogos : Universiti Sains Malaysia (USM) memandang serius isu membabitkan seorang pegawainya yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara berkaitan kes penyalahgunaan kuasa pada Jumaat lalu.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pihaknya turut berdukacita terhadap perkara berkenaan.
Katanya, USM sentiasa melaksanakan taklimat kesedaran anti-rasuah dan pencegahan terhadap sebarang kemungkinan kesalahan salahguna kuasa melalui pelbagai program advokasi dan latihan.
“Ia untuk mendidik warga USM terutamanya ketua jabatan dan pengurusan utama universiti.
“Sejak 2015 lagi, USM melalui Unit Integriti bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk memberi kesedaran serta mencegah sebarang salah laku dan rasuah daripada berlaku dalam ekosistem universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pensyarah di USM dan adik lelakinya masing-masing dipenjara tiga tahun dan didenda RM807,475 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Jumaat lalu selepas didapati bersalah atas pertuduhan salah guna kedudukan sepuluh tahun lalu.
Baca di sini > > > Profesor dan adik dipenjara 3 tahun salah guna kedudukan
Profesor Badarudin Mohamed, 56, dan adiknya, Mustafa Kamal, 50, bagaimanapun memohon mahkamah menangguhkan hukuman itu sementara mereka membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
Badaruddin dihadapkan ke mahkamah berkenaan pada Oktober 2018 atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukannya mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya membekalkan pelbagai barangan bagi jabatan tempat dia bekerja.
Ia membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang bernilai RM160,163.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kominikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster, USM di sini antara September 2011 hingga November 2012. – TVS