Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Aktiviti perniagaan di Pasar Serikin di sini perlahan - lahan bangkit selepas banyak kedai di situ dibuka semula. Foto TVS

Meninjau ‘kebangkitan’ Pasar Serikin

ByAhmad Burhanuddin

BAU, 21 Ogos : Seperti majoriti tempat tumpuan pelancong lain yang ‘runtuh’ akibat serangan pandemik COVID-19, Pasar Serikin di sini turut mengalami nasib sama sejak Mac 2020.

Tinjauan TVS beberapa bulan lepas yang disambut suasana seperti pekan hantu sudah cukup untuk menggambarkan ‘penderitaan’ pasar berkenaan.

Baca lagi > > > Menanti ‘kemeriahan’ Pasar Serikin yang hampir terkubur dibadai pandemik

Bagaimanapun, selepas Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik, pasar yang terletak berhampiran sempadan Sarawak – Indonesia yang berusia 27 tahun itu dilihat kembali bernafas apabila hampir keseluruhan aktiviti perniagaan dibenarkan.

Kunjungan terbaharu TVS semalam mendapati, warna warni pakaian yang digantung di hadapan kedai sepanjang pasar itu seolah-olah menggamit pengunjung untuk berbelanja.

Antara yang mengukir senyuman sudah pasti golongan peniaga yang sudah lama merindui kehadiran orang ramai.

Pakaian, karpet dan perabot antara barangan yang sering dicari oleh pengunjung di Pasar Serikin.

Tidak meminta banyak, peniaga pakaian, Norfaizah Hashim, 41, berkata, dia berharap agar Pasar Serikin kembali meriah setelah sekian lama suram.

“Saya harap aktiviti jualan di sini akan bertambah baik seperti sebelum pandemik.

“Apabila ramai pengunjung, peniaga di sini serta penduduk tempatan akan berpeluang menjana pendapatan,” katanya kepada TVS.

Sementara itu, bagi Jelina Fresia dan Jenny Luwis yang menjual kraf tangan dan pakaian berkata, sepanjang hampir dua tahun pasar itu ditutup, mereka berdua terpaksa menjadi ‘kreatif’ untuk meneruskan kehidupan.

Dedah Jelina, sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia beralih kepada perniagaan secara dalam talian.

“Permulaan PKP perniagaan saya sangat terjejas namun selepas mula menjual secara online, produk kami mendapat sambutan.

“Sekarang ini walaupun sudah membuka kedai sejak awal Ogos, kami teruskan jualan dalam talian,”katanya.

Dua peniaga di Pasar Serikin, Jelina Fresia dan Jenny Luwis mengakui mereka sudah beralih ke perniagaan dalam talian namun akan meneruskan operasi di pasar ini. Foto TVS.

Katanya, liputan internet di situ yang baik juga memudahkan mereka melakukan promosi di media sosial.

“Kadang – kala pendapatan harian jualan dalam talian lebih tinggi berbanding buka kedai namun kami akan teruskan operasi di pasar ini,”katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung tempatan, Mohd. Fillanny Siji berharap agar kemudahan di Pasar Serikin dapat ditambah baik untuk keselesaan pengunjung.

“Saya harap pihak berwajib akan membangunkan tempat ini kerana Pasar Serikin merupakan place to visit di Bau, kita tahu pelancong dari Semenanjung Malaysia atau Sabah suka datang ke sini,” katanya.

Bagi Zikril Hakim yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan pula, dia mengambil peluang berkunjung ke Pasar Serikin apabila pulang melawat keluarga mentuanya di Bau.

“Tempat ini unik namun pada masa hadapan mungkin dana dapat diberikan kepada peniaga untuk mereka menceriakan tempat ini supaya lebih menarik,” katanya.

Pada masa sama, dia berharap agar premis makanan dapat ditambah kerana ketika ini hanya dua yang beroperasi. -TVS 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan