KOTA KINABALU, 2 Julai: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandunya terbabas melanggar tiang elektrik dan terhumban ke dalam longkang di Jalan Damai-Luyang, tengah hari tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, kejadian berlaku sekitar jam 1 petang di hadapan Restoran Wong Kok, membabitkan sebuah Toyota Land Cruiser yang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar struktur elektrik di tepi jalan.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu tiba lima minit selepas panggilan kecemasan diterima dan mendapati mangsa tersepit di bahagian pemandu,” kata Komander Operasi, Jastinus Aloysius.
Mangsa, dikenali sebagai Yong Ket Kong, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.50 petang. -TVS