JOHOR BAHRU, 2 Julai: Taktik licik sindiket pengedaran dadah yang menggunakan aplikasi WeChat bagi berkomunikasi dan meletakkan bungkusan dadah di tepi longkang untuk diambil oleh tokan akhirnya berjaya dihidu pihak polis.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 19 Jun lalu.
Menurut beliau, hasil serbuan pihak polis berjaya menahan lima individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia antara 29 hingga 46 tahun.
“Mereka dipercayai aktif mengedarkan pelbagai jenis dadah kepada pelanggan dengan menggunakan kaedah komunikasi melalui aplikasi WeChat. Selepas pembayaran dibuat, lokasi pengambilan dadah akan diberi, di mana bungkusan berisi paket dadah diletakkan di tepi longkang,” katanya dalam sidang media di IPK Johor, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi itu digunakan bagi mengelakkan mereka dikesan membawa dadah secara fizikal, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan rangkaian aktiviti pengedaran yang dilakukan.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas sejumlah dadah, lima buah kereta mewah, pelbagai jenis barang kemas serta wang tunai.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3.2 juta.
Serbuan dilakukan sekitar jam 12 tengah hari ke atas sebuah pangsapuri dan sebuah rumah teres.
Seorang suspek yang ditahan ketika serbuan kedua di rumah teres telah membawa polis ke lokasi ketiga di satu lagi unit pangsapuri.
Kumar memberitahu, hasil ujian urin mendapati kelima-lima suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Tiga suspek lelaki termasuk dalang sindiket juga dikesan mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis atas kes jenayah serta dadah.
“Kesemua suspek kini direman sehingga Khamis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua wanita Vietnam turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – TVS