LIMBANG, 2 Julai: Anggota bomba bertindak pantas memadam kebakaran sebuah padang bola yang terbakar seluas dua ekar, sekali gus berjaya mengawal api daripada merebak ke kediaman penduduk dalam insiden yang berlaku pagi ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata sepasukan anggota bergegas ke lokasi di Perumahan Rangau yang jauhnya tujuh kilometer dari balai sebaik menerima panggilan jam 10.30 pagi.
Katanya sepasukan anggota melibatkan dua kenderaan bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran belukar.
“Setibanya ditempat didapati benar kebakaran belukar dikawasan berhampiran perumahan penduduk akibat daripada aktiviti pembakaran terbuka membuka kawasan dibelakang rumah.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran tersebut menggunakan sumber air daripada pili bomba yang berdekatan sehingga api padam sepenuhnya,” katanya hari ini.
Jelasnya operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 15 minit.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, khususnya dalam cuaca panas dan kering yang sedang melanda ketika ini.
“Keadaan cuaca sebegini meningkatkan risiko kebakaran merebak dengan pantas dan sukar dikawal, sekali gus boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda serta alam sekitar,” katanya. -TVS