KUCHING, 2 Julai: Seorang lelaki yang mempunyai dua rekod jenayah lampau ditahan kerana cuba mencabul kehormatan seorang wanita ketika berada di Jalan Sultan Tengah di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 1.03 tengah hari yang sama dibuat seorang wanita tempatan berusia 34 tahun.
“Wanita terbabit menyatakan pada jam 7.15 pagi Isnin, semasa berada di kawasan Jalan Sultan Tengah, seorang lelaki tidak dikenali telah cuba menyapa belakangnya.
“Bertindak atas maklumat, jam lebih kurang 6.15 petang, di kawasan jalan berdekatan dengan Taman Sukma, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah, hasil semakan lanjut didapati suspek mempunyai dua rekod jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 354/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat.
“Kita menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, ASP Suziana Suleiman di talian 016- 8009244,” ujarnya.-TVS