KUCHING, 2 Julai: Fenomena penipuan dalam talian yang memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kini berada pada tahap yang membimbangkan, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Beliau mendedahkan bahawa dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, Sarawak telah merekodkan sebanyak 623 kes penipuan atas talian, melibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit.
Susulan perkembangan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap cadangan Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, supaya satu undang-undang khusus berkaitan AI dilaksanakan segera bagi menangani kesan negatif teknologi tersebut, khususnya dalam kes jenayah siber.
“Saya berani mengatakan bahawa landskap media dan kewartawanan telah berubah dengan adanya teknologi Kecerdasan Buatan (AI) ini.
“Teknologi Al telah mengubah cara maklumat dihasilkan dan disebarkan. Al mampu mentakrifkan semula cerita bergantung kepada pengeluar data tersebut sama ada untuk kebaikan atau pelbagai motif lain,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025, di sini, hari ini.
Tambah Abdullah lagi, teknologi Al adalah subjek universal dan impaknya jauh lebih hebat daripada platform media sosial ketika ia mula-mula wujud.
“Kita memerlukan Al untuk menjadikan hidup lebih selesa, tetapi kita harus ingat untuk menggunakannya ke arah kebaikan dan bukan dengan mengorbankan nilai kemanusiaan,” katanya.
Bertemakan “Artificial Intelligence: Shaping the Future of Media and Journalism”, menampilkan beberapa tokoh media dan komunikasi dari dalam dan luar negara yang akan berkongsi pandangan serta pengalaman mereka dalam menyesuaikan diri dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI).
Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 edisi kedua yang berlangsung selama dua hari, disertai lebih 700 peserta termasuk pengamal media, ahli akademik dan pelajar dalam bidang komunikasi serta kewartawanan. – TVS