BUTTERWORTH, 2 Julai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 1.3 juta batang rokok yang disyaki tidak berkastam, bernilai RM1.8 juta termasuk cukai, selepas menyerbu sebuah lori yang ditinggalkan di tempat letak kereta sebuah taman perumahan di Bukit Mertajam dekat sini pada 6 Mei lalu.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, dalam operasi oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan itu, pihaknya turut memberkas dua lelaki warga tempatan berusia 20-an dan 30-an yang merupakan pemandu dan kelindan.
Katanya, pasukan operasi menemui rokok tersebut disembunyikan di ruang barang lori, manakala suspek ditahan di kawasan sekitar.
“Barang dagangan yang disita untuk siasatan adalah sebanyak 1,320,800 batang rokok putih dan rokok kretek.
“Kesemuanya dianggarkan bernilai RM431,504, dengan jumlah duti atau cukai keseluruhan RM1,346,382.40,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang hari ini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati rokok tersebut diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Rohaizad berkata, JKDM turut berjaya menggagalkan cubaan pengedaran minuman keras jenis bir dan liquor yang disyaki tidak berkastam, selepas menyerbu sebuah rumah di sini pada 9 Mei lalu.
“Sebanyak 15,288 tin dan 13,820 botol arak bernilai kira-kira RM900,000, termasuk cukai, telah dirampas, namun tiada tangkapan dibuat.
“Rumah yang tidak berpenghuni itu dipercayai disewa untuk dijadikan tempat menyimpan minuman tersebut sebelum diedarkan bagi pasaran tempatan,” katanya.
Ujarnya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – TVS