DENGKIL, 2 Julai: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor telah mula melaksanakan Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bagi bas ekspres dan bas persiaran di seluruh negeri bermula 1 Julai 2025, sebagai usaha mempertingkat tahap keselamatan penumpang.
Pengarahnya, Azrin Borhan berkata operasi itu dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan penumpang dalam perkhidmatan pengangkutan awam dapat dipertingkatkan, selaras dengan undang-undang dan piawaian keselamatan jalan raya yang telah ditetapkan.
“Sebagai modus operandi penguatkuasaan, JPJ Negeri Selangor akan menumpukan pemeriksaan ke atas bas ekspres dan bas persiaran di terminal utama, hentian rehat, kawasan tumpuan pelancong serta lebuh raya utama.
“JPJ juga akan melakukan penyamaran sebagai penumpang bas bagi memastikan pematuhan ini adalah berterusan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media sempena Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar bagi bas ekspres dan bas persiaran di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Dengkil (Arah Utara), pada Rabu.
Azrin menyatakan bahawa pegawai penguat kuasa juga akan menjalankan pemeriksaan secara rawak bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang dan pemandu.
“Kita telah memeriksa sebanyak 56 bas ekspres dan 23 bas persiaran (sejak semalam) dan mendapati semua kenderaan ini mematuhi arahan yang telah diwar-warkan dan ditetapkan.
“Penumpang yang gagal mematuhi pemakaian tali pinggang keledar akan dikenakan saman, memandangkan kebanyakan pemandu telah pun memberikan peringatan mengenai perkara tersebut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan JPJ mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan persiaran bermula 1 Julai lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan bahawa pelaksanaan itu melibatkan bas yang dibina mulai 1 Januari 2020.
Justeru, Azrin menyeru semua pengusaha dan pemandu bas agar memastikan kemudahan tali pinggang keledar berada dalam keadaan baik dan berfungsi, selain mengingatkan penumpang untuk sentiasa memakainya sepanjang perjalanan. – TVS