PUTRAJAYA, 2 Julai: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi negara ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri sesi konsultasi bersama Kerajaan Indonesia untuk membincangkan beberapa pertikaian antara kedua-dua negara yang masih berlanjutan hingga kini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata antara isu yang akan menjadi tumpuan dalam sesi konsultasi tersebut ialah berkenaan wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat.
“Kita menjangkakan banyak perkara yang telah dibincangkan sejak sekian lama akan dibangkitkan.
“Sesi konsultasi tahunan ini kebiasaannya menjadi forum terbaik antara pemimpin kedua-dua negara untuk menyatakan pandangan dan mencari hala tuju dalam isu-isu berkenaan, termasuk mengenai Blok Ambalat yang telah menjadi pertikaian hampir tiga dekad.”
“Ini bukan perkara baru, dan saya menjangkakan isu ini akan dibincangkan, tetapi seperti yang dinyatakan Perdana Menteri sebelum ini, banyak perkara perlu dipertimbangkan, termasuk isu-isu teknikal,” katanya dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, sesi tersebut disifatkan sebagai permulaan, bukan pengakhiran, dalam isu membabitkan Blok Ambalat.
Fahmi menambah, Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Sekretariat ASEAN selepas sesi konsultasi tersebut.
Sebelum ini, portal berita tempatan melaporkan bahawa Anwar dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, telah menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepatkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.
Bagaimanapun, beberapa pihak menyifatkan pengumuman itu dibuat secara tergesa-gesa dan mengejutkan rakyat Malaysia. – TVS