TEHRAN, 2 Julai: Susulan gencatan senjata dengan Israel, Iran kini sedang mempertimbangkan untuk membeli jet pejuang moden buatan China, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Akhbar harian Iran Entekhab pada Selasa melaporkan bahawa Tehran berminat terhadap versi eksport jet pejuang Chengdu J-10.
Laporan itu turut mengaitkan lawatan Menteri Pertahanan Iran ke Qingdao, sebuah bandar pesisir di China beberapa hari lalu bagi menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), sebagai sebahagian daripada rundingan berkaitan pembelian itu.
Kelemahan utama ketenteraan Iran ketika ini ialah kekuatan angkatan udaranya yang uzur, akibat sekatan antarabangsa yang ketat.
Banyak pesawat tenteranya, termasuk model F-14 masih digunakan sejak era pra-Revolusi Iran 1979 ketika Tehran mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ketenteraan dengan Rusia, Iran berusaha selama bertahun-tahun untuk mendapatkan jet pejuang moden Su-35, namun belum berjaya.
Sehubungan itu, doktrin pertahanan Iran lebih menumpukan kepada kumpulan bersenjata serantau serta pembangunan program peluru berpandu dan dron.
Sekatan antarabangsa juga menyebabkan Iran hampir terputus daripada sistem kewangan global.
Menurut laporan Entekhab, urus niaga pertahanan dengan China secara teorinya tetap boleh berlaku, namun tidak jelas sama ada Beijing bersedia untuk menjualnya kepada Iran.
Terdahulu, pada 13 Jun lalu, Israel melancarkan serangan ke atas Iran dan membedil beberapa sasaran di seluruh negara itu.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mendakwa tindakan itu diambil sebagai tindak balas terhadap ancaman daripada program nuklear Iran yang kontroversi.
Iran kemudiannya membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron, sebelum kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata. -TVS