KUCHING, 2 Julai: Syarikat serta usahawan tempatan di negeri ini diseru agar memanfaatkan platform Hari Eksport Sarawak 2025 yang bermula hari ini hingga 3 Julai kelak, bagi meneroka peluang pasaran baharu dan mengembangkan jaringan perniagaan eksport mereka di peringkat domestik dan antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu merupakan usaha penting dalam menyiapkan usahawan Sarawak dengan maklumat pasaran terkini serta pelbagai mekanisme perdagangan yang disediakan oleh kerajaan dalam memperkasakan segmen keusahawanan eksport ini.
“Berdasarkan Jabatan Statistik pada tahun 2024, eksport Sarawak meningkat kepada 2.3 peratus di mana nilai eksport adalah RM133.8 bilion dan ini disumbangkan oleh industri tenaga, minyak mentah dan minyak sawit mentah. Segmen import meningkat kepada 3.1 peratus kepada RM64.5 bilion dan ini melonjakkan lagi lebihan dagangan kita.
“Pada suku pertama 2025, Sarawak mengekalkan momentum kecemerlangan padu dengan mencatatkan lebihan dagangan berjumlah RM16.8 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Eksport Sarawak 2025 di Kuching pada Rabu.
Sementara Pengerusi MATRADE, Dato Seri Reezal Merican Naina Merican mahu agar syarikat-syarikat perniagaan di negeri ini lebih cakna akan peluang perniagaan yang sedia ada dengan mengikuti forum serta sesi sumbang saran yang dianjurkan sepanjang berlangsungnya Hari Eksport Sarawak 2025 ini.
Reezal amat yakin bahawa program ini akan terus memperkasakan segmen industri eksport di wilayah ini dan pada masa yang sama mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai salah satu penyumbang utama Keluar Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, selain Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Segmen eksport menyumbang RM1.51 trilion kepada sektor perdagangan negara dan 90 peratus daripada perolehan itu disumbangkan oleh empat negeri terbesar di Malaysia dan salah satu daripada negeri tersebut adalah Sarawak,” katanya.
Kerajaan Sarawak dan MATRADE menyasarkan penyertaan 400 syarikat tempatan untuk menyertai Hari Eksport Sarawak 2025 ini dan antara pengisian utama programnya termasuklah seminar berkaitan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Logistik, Kesiapsiagaan Eksport, Platform Digital Rentas Sempadan serta Penetapan Harga dan Perundangan.
Untuk rekod, Sarawak merupakan negeri keempat terbesar dalam sumbangannya kepada eksport negara apabila mencatatkan nilai eksport sebanyak RM116.8 bilion pada tahun 2024.
Bahan api dan pelincir mineral merupakan antara barangan utama eskport wilayah ini pada kadar 58.9 peratus, diikuti barang perkilangan sebanyak 16 peratus, sayuran, minyak serta lemak haiwan pula menyumbangkan 14.7 peratus dan 5.2 peratus pula mencakupi mesin dan kelengkapan pengangkutan.-TVS