JOHOR BAHRU, 2 Julai: Sebanyak 12,835 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata tangkapan tersebut melibatkan pelbagai kategori, termasuk pengedar, penagih, dan mereka yang memiliki dadah secara haram.
“Sepanjang tempoh dari 1 Januari hingga 30 Jun 2025, JSJN Johor juga berjaya merampas sebanyak 1.08 tan dan 5,816.56 liter dadah pelbagai jenis. Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM106.97 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, kejayaan ini turut disusuli dengan penyitaan aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM9.23 juta.
“Rampasan dan penyitaan ini adalah hasil daripada usaha berterusan pihak polis dalam membanteras sindiket pengedaran dadah yang menjadikan Johor sebagai lokasi transit dan pengedaran,” katanya.
Tambah beliau, Polis Johor akan terus mempergiatkan operasi secara bersasar dengan kerjasama pelbagai agensi.
“Kita juga menggalakkan orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat agar aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dapat dikekang dengan lebih efektif,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa jenayah dadah masih merupakan ancaman utama kepada keselamatan negara dan memerlukan tindakan tegas serta sokongan padu daripada masyarakat. – TVS