KOTA KINABALU, 1 Julai: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Jalan Kokol, Kampung Mansiang Menggatal di sini, malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Ng Su Yen disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas ditemui dalam keadaan tidak bernyawa pada jam 9.02 malam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.27 malam sebelum sepasukan anggota dari BBP Lintas dan BBP Bantuan Kota Kinabalu bergegas ke lokasi sejauh lapan kilometer.
“Kebakaran melibatkan rumah dua tingkat yang terbakar 100 peratus. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan dari sumber air jentera,” kata Komander Operasi, PBT II Laupen Nuar.
Sebanyak 20 anggota dikerah ke lokasi dengan kekuatan tiga jentera termasuk dua FRT, satu EMRS dan satu tangki air.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.30 malam. -TVS