LIMBANG, 1 Julai: Sekumpulan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit bertindak pantas memadam kebakaran kecil yang berlaku di asrama sekolah mereka malam tadi, sekali gus berjaya mengelakkan api daripada merebak.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 43 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi kejadian kebakaran melibatkan asrama pelajar yang terbakar hanya lapan peratus dan kebakaran tidak melibatkan mangsa.
“Kebakaran ini juga dapat dipadam oleh warga SMK Medamit dengan mengunakan sembilan unit alat pemadam api dan air paip sebelum pihak bomba sampai di lokasi,” katanya dalam kenyataan itu.
Katanya pihak bomba membuat pemeriksaan di lokasi bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya dan tiada lagi kemerbahayaan
Tambah JBPM, tindakan pantas warga sekolah, termasuk pelajar, berjaya mengawal api menggunakan sembilan unit alat pemadam api serta bantuan air paip sebelum ketibaan bomba.
Pasukan bomba turut melakukan pemeriksaan rapi di lokasi bagi memastikan kebakaran benar-benar padam dan tiada risiko nyalaan semula. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.49 malam. -TVS