BINTANGOR, 1 Julai: Seramai 21 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor diraikan dalam satu majlis khas di sini, hari ini.
Majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelajar atas kegigihan dan kejayaan mereka dalam mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu.
Selain menerima pengiktirafan, kesemua mereka turut menerima insentif khas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Dalam ucapannya, Kuong Hiing merakamkan ucapan tahniah kepada warga SMK Bandar Bintangor kerana berjaya mengekalkan prestasi cemerlang SPM saban tahun.
Beliau berkata, pencapaian ini membuktikan wujudnya kerjasama erat antara pelajar, guru dan pihak pentadbiran sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik terus dikekalkan.
“Usaha seperti ini perlu diteruskan dan peranan guru amat penting dalam membimbing pelajar mencapai kejayaan,” katanya.
Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan sumbangan untuk membantu SMK Bandar Bintangor dalam pemasangan peralatan LCD di setiap kelas.
Langkah itu katanya, bertujuan menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih interaktif dan berkesan.
Turut hadir Pengetua SMK Bandar Bintangor, Patrick Philip Moss serta barisan guru dan ibu bapa pelajar. -TVS