KUCHING, 1 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan Sarawak Command Net (SCNet), sebuah inisiatif teknologi yang dijangka mempertingkatkan komunikasi antara agensi keselamatan di wilayah ini.
Beliau berkata SCNet bakal menjadi alat penting dalam meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang di seluruh negeri, sekaligus memudahkan pertukaran maklumat secara lebih efisien.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di atas beberapa kejayaan yang telah disebutkan oleh Datu Dr Chai Kin Chung (Pengarah UKPS).
“Malam ini pula kita ada satu pembaikan dalam operasi UKPS, iaitu kita melancarkan Sarawak Command Net,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Sarawak Command Net bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun UKPS Ke-8, di sini, malam ini.
Jelasnya lagi, pelaksanaan SCNet adalah langkah penting dalam menghadapi cabaran era digital dengan menggunakan teknologi canggih bagi mempermudah penyampaian maklumat antara agensi penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Abang Johari turut memuji kejayaan UKPS yang telah mencapai 100 peratus sabitan dalam penyiasatan kes yang mencerminkan komitmen dan ketelitian pasukan dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang dengan penuh profesionalisme.
“Ini adalah pencapaian yang baik kerana kadangkala, jika bukti yang kita ada tidak mencukupi, kita akan kalah di peringkat mahkamah. Sekiranya kita kalah, mereka (pesalah) mungkin akan mengulangi perbuatan yang sama seperti menceroboh, mencuri dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau menambah UKPS memainkan peranan kritikal dalam menangani isu keselamatan seperti penyeludupan dan kecurian, terutama di kawasan pedalaman yang sukar diakses. – TVS