SELEPAS 62 tahun kemerdekaan, Sarawak kini menyaksikan pelbagai perubahan pesat hasil dasar-dasar berani dan inklusif yang dilaksanakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata kejayaan Sarawak hari ini mencerminkan komitmen kepimpinan Premier Sarawak yang bukan sahaja merendah diri dan berpegang teguh kepada nilai agama malah adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
“Beliau seorang pemimpin yang rendah diri dan teguh pegangan rohaninya. Bila rohani kita kukuh, segala tindakan akan disertai dengan niat yang baik. Premier kita mengamalkan pendekatan inklusif, menjadi pemimpin untuk semua rakyat Sarawak,” katanya ketika ditemui TVS sempena sambutan Hari Sarawak, baru-baru ini.
Rentap turut menekankan peranan sukan dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum di wilayah ini merujuk kejayaan penganjuran SUKMA 2024 sebagai bukti kekuatan semangat perpaduan rakyat Sarawak.
“SUKMA 2024 yang melibatkan 37 acara sukan di sembilan bahagian membuktikan keupayaan kita. Kejayaan menjadi juara keseluruhan adalah hasil sokongan padu rakyat Sarawak. Sukan menyatukan kita, dan ini menyumbang kepada semangat kebersamaan yang tinggi,” ujarnya.
Beliau juga menekankan perubahan Sarawak turut meliputi aspek ekonomi yang lebih mampan selaras dengan visi menjadi sebuah wilayah maju menjelang tahun 2030.
“Dulu kita berdepan ancaman komunis, tapi hari ini Sarawak berdiri megah memperjuangkan masa depan sendiri. Keberanian kepimpinan Premier Sarawak harus dijadikan contoh oleh semua pemimpin,” jelasnya. – TVS