KUCHING, 1 Julai: Rainforest World Music Festival (RWMF) edisi ke-28 tahun ini mencatat peningkatan ketara kehadiran pengunjung dalam kalangan keluarga pelbagai generasi, termasuk ibu bapa, anak-anak serta datuk dan nenek.
Menurut kenyataan Lembaga Pelancongan (STB), fenomena itu menunjukkan RWMF bukan sahaja menarik pencinta muzik, malah menjadi medan penyatuan keluarga melalui pengalaman budaya yang unik.
“Melalui program yang dinamik, usaha kelestarian yang diperluas dan pertukaran budaya yang bermakna, RWMF 2025 sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu festival muzik paling unik di dunia.
“Ia merupakan sebuah pameran hidup tentang apa yang boleh dicapai oleh pelancongan apabila dilaksanakan dengan betul,” menurut STB.
Festival yang berlangsung dari 20 hingga 22 Jun lalu di Kampung Budaya Sarawak itu menarik seramai 22,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Antara pengisian utama festival ialah Rainforest Youth Summit atau RAYS, iaitu perhimpunan selama tiga hari yang menghimpunkan pemimpin belia dari seluruh ASEAN bagi meneroka topik berkaitan kelestarian, pengetahuan masyarakat asal dan tindakan alam sekitar.
“Kehadiran berterusan mereka dalam festival ini mencerminkan komitmen bersama terhadap budaya, pemuliharaan dan hubungan yang mampu merapatkan jurang antara idea dan pengalaman dengan cara yang bermakna,” tambah STB.
Edisi tahun ini bertemakan Connections One Earth One Love dan memberi penekanan kepada muzik sebagai pemangkin pemeliharaan alam sekitar, diplomasi budaya dan pelancongan lestari.
RWMF akan kembali pada 26 hingga 28 Jun 2026.