KUCHING, 1 Julai: Impian penduduk Kabong untuk memiliki kemudahan sukan yang moden dan selesa bakal menjadi kenyataan apabila sebuah kompleks sukan bernilai RM30 juta akan dibangunkan tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek mega itu kini berada di peringkat akhir pemilihan tapak dan dibiayai sepenuhnya menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Kompleks ini bakal merangkumi astaka berkapasiti 300 penonton, padang bola sepak lengkap sistem saliran bawah tanah, blok pentadbiran, dewan tertutup serbaguna, trek larian sintetik dan gelanggang futsal,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Projek Kompleks Sukan Kabong di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.
Beliau menegaskan, pembangunan kompleks tersebut bukan sekadar infrastruktur semata-mata, tetapi sebagai simbol komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa gaya hidup sihat dan pembangunan belia luar bandar.
“Sebagai ADUN, saya berharap projek ini berjalan lancar agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya, bukan sahaja oleh anak muda tetapi seluruh komuniti Kabong,” ujarnya lagi.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan Fasiliti Perbadanan Sukan Sarawak, Syamsudin Mohamad Ali, dan wakil BDDA, Jabatan Tanah dan Survei serta agensi teknikal berkaitan.-TVS