KUCHING, 1 Julai: Pelaksanaan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus yang berkuat kuasa hari ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga dan isi rumah, yang menyifatkannya memberi kesan terhadap kos perniagaan serta perbelanjaan harian.
Peniaga makanan, Rokiah Saini, berkata langkah menaikkan kadar cukai itu akan mendorong orang ramai lebih berjimat dan mengurangkan kekerapan makan di luar.
“Sudah tentu ramai akan memilih untuk makan di rumah. Pelanggan juga nampaknya berkurangan berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Saniah Morni, seorang suri rumah pula berkata, cukai yang dikenakan ke atas barangan import seperti buah-buahan dan makanan akan memberi kesan ketara kepada pendapatan isi rumah.
“Kami terpaksa menyusun semula perbelanjaan harian kerana harga barangan semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, peniaga hasil laut, Salleh Mostapha berkata pihaknya hanya akan menaikkan harga jualan sekiranya berlaku kenaikan yang dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan.
“Kami ikut harga pasaran. Kalau ada kenaikan pun, mungkin sekitar 10 peratus sahaja,” katanya yang sudah lebih 40 tahun berniaga.
Pelaksanaan SST lapan peratus ini merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menambah hasil negara tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah.
Cukai itu menggantikan kadar lama iaitu enam peratus dan tertumpu kepada sektor perkhidmatan tertentu seperti makanan, minuman, perhotelan serta beberapa barangan import.