BEAUFORT, 1 Julai: Sebuah kereta jenis Proton Waja musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Kabulu di sini, malam tadi, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.34 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati keseluruhan kenderaan sedang marak dijilat api.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula,” kata Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, PBK II Sharuddin Samin dalam kenyataan itu, hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.05 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.17 malam.
Operasi membabitkan 10 anggota dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti jenis VIGO.