Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang perunding minyak dan gas kerugian lebih RM2.7 juta akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi di laman sesawang dikenali “Nova 88”. Foto hiasan Envato

Perunding minyak dan gas rugi lebih RM2.7 juta diperdaya pelaburan palsu

ByBernama

IPOH, 1 Julai: Seorang perunding minyak dan gas kerugian lebih RM2.7 juta akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi di laman sesawang dikenali “Nova 88”.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 37 tahun itu telah mendaftar akaun pelaburan di laman web berkenaan pada April 2023 melalui suspek yang dikenali menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah membuat bayaran deposit pertama berjumlah RM30,000 ke akaun yang diberi dan seterusnya diberikan pengenalan pengguna (ID) serta kata laluan untuk melihat nilai pelaburan berkenaan.

“Bermula dari 5 Jun 2024 hingga 20 Mei 2025, mangsa telah membuat 136 kali transaksi pindahan wang ke tujuh akaun yang berlainan berjumlah RM2,701,687. Sumber kewangan mangsa adalah hasil simpanan sendiri dan juga wang daripada ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisam berkata mangsa mula rasa tertipu apabila diminta membuat bayaran terlebih dahulu setiap kali ingin mengeluarkan keuntungan, namun sehingga kini wang berkenaan masih gagal dikeluarkan manakala suspek pula sering memberikan alasan sebelum gagal dihubungi.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang bentuk pelaburan ditawarkan menerusi laman sesawang tidak sah, tidak berdaftar atau tidak dikawal selia oleh pihak berkuasa diiktiraf. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan