SARATOK, 1 Julai: Seorang pemuda berusia 34 tahun maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah lori kargo di Jalan Nyabor-Sessang disini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kemalangan yang berlaku apabila motosikal roda tiga ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian depan sebelah kanan sebuah lori kargo yang sedang bergerak lurus dari arah bertentangan.
“Kemalangan berlaku semasa pemandu lori dalam perjalanan ke arah Kabong, sampai di tempat kejadian semasa pemandu lori sedang bergerak lurus tiba-tiba sebuah motosikal roda tiga yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan kanan Lori.
Akibat kemalangan mangsa dikenali sebagai Yatno Amir telah terjatuh ke bahagian bawah lori dan digilis oleh tayar bahagian belakang Lori,” katanya menerusi kenyataan kepada TVS hari ini.
Katanya, mangsa yang bekerja sendiri telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Paramedik dari Klinik Kesihatan Nyabor. Manakala, pemandu kargo, Chin Kiong Ing, 43 tahun beralamat di Sibu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kes masih dalam siasat lanjut pihak polis.-TVS