KUCHING, 1 Julai: Seorang lelaki berusia 28 tahun cedera selepas lori dipandu kemalangan di Jalan Demak Laut di sini, hari ini.
Komander Operasi, Tahir Tuan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.37 pagi dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah lori telah terlibat dalam kemalangan kendiri di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki dewasa yang merupakan pemandu lori telah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba telah menjalankan usaha menyelamat dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – TVS